Saturday, 25 May 2013

Bengkel Pencerahan Minda (Ulasan)



Pada 17 Mei lepas, satu program Bengkel Pencerahan Minda telah diadakan di Bilik Seminar C15-206. Bengkel yang diadakan itu bertujuan untuk memberi pendedahan terhadap perubahan dan masalah semasa system pendidikan serta membuka minda mahasiswa yang merupakan bakal guru terhadap kesedaran membentuk fikiran dan tindakan secara glokal dalam merancang untuk menjadi seorang guru yang berkualiti apabila ditugaskan kelak.


Program ini telah dianjurkan oleh mahasiswa yang mengambil kursus Masalah Pendidikan Semasa di bawah seliaan Encik Shahrin bin Hashim dan Saudari Mardhiah bertindak selaku Pengarah Program pada bengkel tersebut. Perjalanan bengkel tersebut dimulakan dengan slot ceramah yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Shaharuddin Saari, iaitu Pengetua dari SMK Taman Majidee 2. Beliau sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengetua di SMK Taman Desa Skudai di samping pernah menyandang beberapa posisi penting di peringkat daerah mahupun Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Namun, pengalaman beliau sebagai seorang guru hampir 25 tahun nyata memberi kelebihan buat beliau dalam memberikan sesi ceramah dalam bengkel yang diadakan.

Tuan Haji Shaharuddin menyampaikan ceramah dalam slot pertama berkaitan Guru Futuristik

Tuan Haji Shaharuddin telah menyampaikan ceramah berkaitan Guru Futuristik yang merupakan Sandaran dan Harapan Negara pada masa akan datang. Antara penekanan yang diberikan oleh beliau dalam sesi ceramahnya, Tuan Haji Shaharuddin menegaskan bahawa betapa besarnya peranan dan sumbangan guru dalam melahirkan sebuah generasi yang berdaya saing. Tuan Haji Shaharuddin dalam sesi ceramah beliau turut menegaskan peranan guru dalam membentuk pelajar yang seimbang dari pelbagai aspek meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek agar sebuah bentuk dan hierarki masyarakat yang hendak dibina itu selaras dengan pembangunan etika, budaya dan sosial kemasyarakatan.

Selain itu, Tuan Haji Shaharuddin turut menyentuh isu-isu berkaitan dengan gejala sosial yang semakin hebat melanda anak muda terutama golongan pelajar. Isu-isu seperti gejala merempit, dadah, salahlaku social dan banyak lagi sedang hebat melanda sehinggakan ia dikhuatiri menjadi satu fenomena kebiasaan dalam budaya hidup pelajar dalam masyarakat kita. Apa yang menariknya, Tuan Haji Shaharuddin turut memberitahu kepada para peserta bengkel bahawa kebanyakan Negara maju sering mengabaikan aspek pembangunan sahsiah dan moral sehinggakan peningkatan gejala dan salahlaku social meningkat seiring dengan perkembangan taraf kemajuan yang ingin dicapai. Hasil perkembangan teknologi masa kini seperti kewujudan telefon pintar dan tab telah banyak dimanipulasikan oleh sebilangan besar pelajar sehinggakan mereka menjadikan gadget yang dimiliki itu sebagai ‘hub’ terhadap segala aktiviti social mereka. Ini ditambah dengan perkembangan pesat kemudahan akses internet itu sendiri di mana pelajar mudah mendapatkan sebarang informasi atau maklumat yang diingini yang kini hanya berada di hujung jari. Memandangkan beberapa langkah keselamatan seperti menghalang sebarang akses terhadap laman pornografi masih tidak dilaksanakan, ini memberi lagi impak terhadap kemudahan internet itu sendiri dalam kalangan pelajar.

Jika dahulu, handphone mungkin merupakan sebuah alat yang dilarang untuk dibawa masuk ke sekolah namun, pada hari ini handphone telah menjadi sebahagian dari budaya sosial di sekolah sehinggakan terdapat situasi di mana guru kelas yang berada di bilik guru hanya menelefon ketua kelasnya yang berada di tingkat 4 untuk mengetahui tentang kehadiran pelajar. Begitu besar sekali impak perkembangan teknologi terhadap penggunaannya di sekolah. Hal ini tidak dinafikan apabila ia kadangkala mampu memudahkan kerja manusia di samping ia turut mampu menjimatkan masa dalam melakukan sebarang kerja. Namun apa yang penting, Tuan Haji Shaharuddin turut menekankan bahawa kebijaksanaan dan kesungguhan guru memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk melahirkan generasi pelajar yang akan terus membangunkan Negara pada masa akan datang.

Seterusnya, bengkel diteruskan dengan slot dua iaitu slot Latihan dalam Kumpulan (LDK) yang disertai hampir 80 pelajar.  Kumpulan besar pelajar ini tadi dipecahkan menjadi 4 kumpulan kecil dan tiap-tiap kumpulan telah diberi peranan yang berasingan terhadap tajuk yang sama iaitu Ciri-Ciri *** pada  Masa Hadapan. Kumpulan kami membincangkan terhadap Ciri-Ciri Guru pada Masa Hadapan. Hasil dari perbincangan dalam kumpulan, kami nyatakan dalam 14 ciri-ciri yang diperlukan bagi melahirkan generasi Guru Futuristik. Antara ciri-ciri guru futuristic adalah berfikiran global, celik ICT, berktrampilan, kreatif dan inovatif, mesra dan penyayang dan lain-lain.
 
Sesi LDK dalam kalangan peserta bengkel


Setiap kumpulan pelajar telah diberikan masa 45 minit untuk mengadakan aktiviti perbincangan dalam kumpulan dan kami diminta untuk membentangkan hasil perbincangan kami pada sebelah petangnya. Sewaktu pembentangan, kami turut menekankan beberapa ciri-ciri penting guru futuristic seperti celik ICT, fleksibel dan optimistic di mana ciri-ciri ini mampu mendorong survival kerjaya seorang guru dalam menghadapi cabaran dalam mendidik anak bangsa pada masa hadapan. Memandangkan segala maklumat yang ingin dicari pada masa sekarang hanya berada di hujung jari, maka guru harus meningkatkan lagi penguasaan mereka terhadap kemahiran ICT supaya kemahiran pelajar tidak menenggelamkan kebolehan guru dalam mendidik.

Sesi pembentangan oleh kumpulan peserta yang terlibat

Kesimpulannya, bengkel yang diadakan ini sedikit sebanyak memberi kami ruang dan pendedahan terhadap skop, fokus, cabaran dan etika dalam menghadapi bidang pendidikan pada masa akan datang. Perkembangan teknologi yang kian berkembang pesat akan menyumbang sedikit sebanyak terhadap perubahan landskap pendidikan di Negara kita. Oleh itu, semua guru terutama kelompok guru muda disaran untuk melakukan anjakan paradigma bagi meningkatkan lagi martabat profesion keguruan sekaligus bersama-sama menggembeleng tenaga dalam meralisasikan hasrat Negara dalam mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020 dengan tidak mengetepikan nilai etika dan budaya hidup sebagai masyarakat yang berilmu dan berakhlak.

Sekian.

 
Encik Shahrin turut membimbing peserta sewaktu sesi LDK

Saudari Mardhiah menyampaikan cenderahati kepada Encik Shahrin


Tuan Haji Shaharuddin bersama barisan peserta yang mengikuti Bengkel Pencerahan Minda 2013

No comments:

Post a Comment